Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof (tengah) berbual mesra dengan sebahagian asnaf pada Majlis Semarak Syawal di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mujahid Yusof melahirkan kehairanan terhadap sikap Ketua Dewan Ulama Pas, Dr Nik Zawawi Salleh yang dilihat ‘berflip flop’ berhubung cabarannya sendiri untuk berdialaog.

Ini kerana Nik Zawawi dilihat terlalu memberikan banyak alasan selepas cabarannya itu disahut oleh pendakwah bebas, wan Ji Wan Hussin dan Zulkarnain Zainal Abidin, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mujahid berkata, beliau tidak tahu apa sebenarnya yang dinginkan oleh Nik Zawawi dan menyifatkannya sebagai seorang pemimpin Pas yang suka membuat pusingan U.

“Saya rasa pemimpin Pas ni banyak yang U-turn. Mula kata tak kira siapa tapi, bila bagi dia kata budak jalanan.

“Yang kedua dia kata kena isytihar (harta) tapi hari ini pula kata tak payah isytihar harta sebab Islam tak bagi.

“Dulu kata UMNO wajib kita tumbangkan hari ini dia berkawan pula dengan UMNO.

“Jadi saya tak terkejutlah bahawa kenyataan ketua ulama dia tu flip-flop sebab selama ni Pas flip flop. Kalau dia flip-flop macam tu saya pun tak tau dia nak apa sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Semarak Syawal di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee.

Sebelum ini, Nik Zawawi mengeluarkan kenyataan kontroversi ketika berucap di Muktanar Pas apabila menyeru ahli parti itu menumbangkan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang dengan meletakkan hukum berbuat demikian sebagai wajib.

Beliau turut mencabar pimpinan PH untuk berdialog ekoran kenyataannya itu dan menamakan Mujahid sebagai salah seorang daripadanya ekoran beliau terlibat dalam merangka dasar-dasar kerajaan.

Cabaran Nik Zawawi itu kemudiannya disahut Wan Ji Zulkarnain namun, Nik Zawawi pula mengenakan syarat sedangkan kedua-dua pendakwah bebas berkenaan tidak menyatakan demikian. – MalaysiaGazette

Nik Zawawi mahu dialog dengan Mujahid