Penyanyi, Aishah Ariffin.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire yang gagal menyerahkan hadiah utama sebidang tanah lot seperti dijanjikan sebagai juara Gegar Vaganza pada tahun 2017.

Peguam Aishah, Mohammad Izwan Azmi berkata, tindakan itu terpaksa diambil kerana tiada maklum yang diberikan oleh penaja hadiah itu sehingga kini.

“Pihak Aishah sudah mula ambil tindakan undang-undang terhadap syarikat Bina Mega Empire.

“Kami sudah beri tempoh kepadanya sejak kali terakhir bertemu dengan pihak mereka sekitar September tahun lalu.

“Namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini hari ini yang turut dihadiri Aishah dan seorang lagi peguam, Mazniza Mohd. Kamil.

Sidang media itu diadakan bagi menjelaskan penghakiman persetujuan menerusi mediasi kes tuntutan Aishah terhadap jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Datuk Vida mengenai isu berlian palsu di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 1 Julai lalu.

Mazniza sebelum itu berkata, Vida telah bersetuju menggantikan barang kemas berlian asli bernilai RM80,000 kepada penyanyi Aishah sebelum 17 Julai ini.

Peguam Aishah, Mazniza Mohd. Kamil memberitahu, pengasas produk jenama Qu Puteh itu juga telah menentukan sebuah kedai emas di Bangsar di sini bagi memberi hak sepenuhnya kepada Aishah untuk memilih berlian tersebut.

Jelas beliau, Datuk Vida akan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada media dalam satu media khas yang perlu diadakan pada atau sebelum 17 Julai ini.

Sementara itu, Aishah mengakui penampilan dirinya sudah lama diharamkan di kaca televisyen sejak kes hadiah kemenangan hadiah rantai berlian menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat bukan tulen.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu berkata, sebagai artis veteran, dia hanya ingin memperjuangkan hak anak seni agar tidak senang diperlekeh oleh mana-mana pihak.

Dia yang berlulusan Sarjana itu berharap tindakan nekad dan tegasnya itu dapat dicontohi artis-artis muda agar tidak melalui pengalaman sepertinya pada masa akan datang.

Sementara itu, persengketaan antara Aishah dan Vida tercetus apabila penyanyi ternama itu membuat pendedahan mengenai hadiah rantai bernilai RM80,000 yang ditaja usahawan kosmetik itu adalah palsu pada September tahun lalu.

Penghibur berusia 54 tahun itu mengetahui bahawa barangan kemas yang diterima hasil hadiah kemenangan menjuarai progam Gegar Vaganza musim keempat itu bukan tulen selepas mengadakan pemeriksaan di kedai emas.

Rentetan daripada itu, sengketa antara mereka berpanjangan sehinggalah Aishah membuat keputusan membawa kes ini ke mahkamah. – MalaysiaGazette