Wednesday, April 24, 2024
Home Nasional Tiada kompromi untuk pesalah integriti akademik – Raha

Tiada kompromi untuk pesalah integriti akademik – Raha

Prof Dr Raha Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) tidak akan berkompromi bagi sebarang kes salah laku integriti di kampus yang melibatkan staf dan pelajar.

Naib Canselor UTeM, Prof. Raha Abdul Rahim berkata, tindakan tegas yang diambil oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menangani isu itu bertepatan kerana salah laku akademik bukan sahaja memberi reputasi buruk kepada pengurusan akademik tetapi turut menjejaskan kredibiliti universiti.

“Aspek integriti seharusnya menjadi tunjang utama dalam keperibadian seorang ahli akademik yang merupakan role model kepada pelajar yang diselia.

“Satu tindakan tersebut bagi memastikan mereka yang terlibat dan bersalah menerima hukuman serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malek yang akan bertindak tegas berhubung dakwaan isu plagiat dan integriti akademik dengan membawa perkara tersebut ke muka pengadilan baru-baru ini.

Menurut Raha, golongan akademik hendaklah sentiasa peka dan dengan garis panduan dan peraturan berkaitan etika penyelidikan dan penerbitan agar kesarjanaan ilmu tersebut tidak tercemar.

Pihak UTeM menitikberatkan aspek integriti dan etika dalam kalangan warga akademik melalui pemantauan Bahagian Integriti di bawah pengurusan Pejabat Penasihat Undang-Undang, Garispanduan Pengurusan Penyelidikan yang dikeluarkan oleh Universiti, Polisi Penyelidikan 2014, Peraturan Akademik Pascasiswazah 2013 serta Garispanduan Penyediaan Tesis, Disertasi dan Projek Sarjana 2013 yang meliputi hal-hal berkaitan penyelidikan, penerbitan, integriti dan plagiat, katanya.

“Sebarang salah laku akademik berkaitan integriti di kalangan warga universiti akan diambil tindakan mengikut Akta 605 – Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000.

“UTeM turut menyediakan saluran aduan rasmi kepada para pelajar dan staf bagi mengutarakan sebarang isu berkaitan kepada pihak pengurusan tertinggi,” katanya.

Sistem e-Aduan UTeM terbuka kepada semua warga yang boleh dicapai melalui laman sesawang universiti dan aduan-aduan  menjadi keutamaan dalam usaha penambahbaikan berterusan.-MalaysiaGazette