Pengendalian kargo di Tanjung Pelepas. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan pada bulan Mei bernilai RM159.2 bilion, meningkat RM3.1 bilion atau 2.0 peratus.

Bagaimanapun, ia menurun sebanyak RM292.7 juta berbanding bulan April 2019.

Lebihan dagangan pula bernilai RM9.1 bilion, meningkat sebanyak RM965.6 juta berbanding setahun lalu walaupun menyusut 16.0 peratus atau RM1.7 bilion berbanding bulan sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berasaskan tahun ke tahun, eksport meningkat 2.5% kepada RM84.1 bilion. Produkproduk utama yang dikaitkan dengan pengembangan adalah minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit meningkat RM437.8 juta kepada RM6.2 bilion.

Eksport minyak kelapa sawit, komoditi utama dalam kumpulan produk ini meningkat RM663.6 juta disebabkan oleh peningkatan volum eksport walaupun nilai purata seunit menurun 16.1 peratus.

Kayu dan hasil keluaran kayu, yang menyumbang 2.4 peratus kepada jumlah eksport meningkat RM258.8 juta kepada RM2.0 bilion

Manakala barangan elektrik dan elektronik meningkat RM159.9 juta kepada RM29.3 bilion dan getah asli meningkat RM17.6 juta kepada RM352.5 juta disebabkan kenaikan nilai purata seunit (+6.0%) walaupun volum eksport merosot 0.7 peratus, tambahnya.

Berasaskan bulan ke bulan, eksport menurun RM1.0 bilion daripada RM85.2 bilion. Produk-produk utama yang menyumbang kepada penurunan adalah barangan elektrik dan elektronik menurun RM3.8 bilion daripada RM33.1 bilion.

Gas asli cecair menurun RM630.4 juta berbanding RM3.6 bilion berikutan penurunan dalam kedua-dua volum eksport dan nilai purata seunit dan keluaran petroleum bertapis merosot RM351.8 juta daripada RM6.4 bilion berikutan penurunan volum eksport walaupun nilai purata seunit meningkat 4.0 peratus.

Tetapi minyak kelapa sawit dan hasil keluaran berasaskan minyak kelapa sawit meningkat RM1.0 bilion dan eEksport minyak kelapa sawit meningkat RM776.2 juta atau 25.3 peratus disebabkan oleh peningkatan dalam volum eksport walaupun nilai purata seunit menurun 1.7 peratus.

Petroleum mentah meningkat RM590.9 juta daripada RM1.9 bilion berikutan peningkatan dalam kedua-dua volum eksport (+24.3%) dan nilai purata seunit (5.6%); kayu dan hasil keluaran kayu meningkat RM190.7 juta daripada RM1.8 bilion; dan getah asli meningkat RM17.6 juta atau 5.3% daripada RM334.9 juta berikutan kenaikan dalam kedua-dua nilai purata seunit (+3.6%) dan volum eksport (+1.6%).

Dua destinasi utama eksport Malaysia bagi bulan Mei 2019 adalah Singapura dan China.

Eksport ke Singapura yang bernilai RM11.4 bilion meningkat RM285.0 juta (+2.6%) berbanding setahun yang lalu.

Namun eksport ke China yang bernilai RM11.3 bilion merosot RM252.0 juta. – MalaysiaGazette