Seramai 21 pendatang tanpa izin yang dibawa keluar daripada sebuah kediaman di Pasir Panjang.

KUALA LUMPUR – Dua pasangan suami isteri termasuk seorang lelaki Malaysia ditahan kerana disyaki bertindak sebagai ejen pengurus, pemilik dan penyewa rumah transit pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mereka ditangkap dalam operasi oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), yang mensasarkan sindiket penyeludupan masuk dan keluar PATI melalui pintu masuk laut yang tidak diwartakan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, risikan bersama telah dijalankan selama dua bulan berdasarkan maklumat awal yang diperolehi.

Hasil maklumat yang diperolehi oleh kedua- dua agensi, satu operasi bersama dijalankan di sekitar kawasan Shah Alam dan Sekinchan, Selangor semalam, bermula pada jam 3.45 pagi dengan serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di kawasan Pasir Panjang, Sekinchan.

Manakala serbuan kedua telah dilakukan di sebuah restoran dan unit kediaman pangsapuri di sekitar Seksyen 27, Shah Alam, oleh Unit Operasi Khas (UOK) dan PASTAK JIM.

Seludup PATI 4

Sebahagian daripada PATI yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen semalam.Kedua-dua lokasi ini telah dikenalpasti sebagai rumah transit menyimpan PATI yang akan masuk atau yang akan keluar dari negara secara tidak sah dengan menggunakan laluan yang tidak diwartakan.

“Hasil serbuan di lokasi, pasukan telah berjaya menahan seorang lelaki warga negara Malaysia bersama isterinya yang merupakan wanita warga negara Indonesia dan 2 orang pasangan suami isteri yang juga merupakan warga negara Indonesia.

“Kempat-empat mereka disyaki bertindak sebagai agen pengurus dan pemilik atau penyewa bagi rumah transit tersebut. Mereka bertanggungjawab untuk menjaga segala kemudahan dari segi tempat tinggal, makan minum dan sebagainya,” katanya.

Operasi itu berjaya menahan 21 warga asing dalam serbuan di sebuah rumah di Pasir Panjang membabitkan 4 orang lelaki, 5 orang wanita dan 2 kanak-kanak perempuan warga Indonesia. Turut ditahan seorang lelaki Malaysia yang bertindak sebagai perantara dan penjaga di tempat berkenaan.

Seludup PATI 2
Beberapa kanak-kanak antara yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen di sebuah rumah pangsa di Selangor, semalam.

Khairul Dzaimee berkata, rentetan dari tangkapan ini, pasukan telah melakukan pemeriksaan seterusnya di sebuah restoran dan sebuah rumah pangsa dan menahan 12 lagi PATI.

Katanya, sindiket ini membawa masuk warga asing secara haram dan berfungsi sebagai agen pembekal tenaga kerja warga asing untuk sektor-sektor perkilangan dan juga pembantu rumah.

Hasil soal siasat mendapati sindiket ini mengenakan bayaran sebanyak RM900 hingga RM1,000 bagi setiap seorang untuk membawa masuk atau membawa keluar dari negara secara haram, yang mana sehala perjalanan melalui bot boleh mengangkut penumpang sehingga 30 orang bagi setiap perjalanan.

Sindiket ini dapat mengaut keuntungan sebanyak RM27,000 hingga RM30,000 bagi setiap perjalanan membawa masuk atau keluar warga asing secara haram.

Menurutnya, warga asing yang ditahan itu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa. Kesemua yang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 26 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Mereka kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan.

Dalam pada itu, JIM turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menggunakan jalan singkat untuk mendapatkan perkhidmatan pekerja asing kerana kebanyakan membawa kepada kerugian wang dengan jumlah yang besar akibat kes-kes pemalsuan dan juga penipuan. – MalaysiaGazette