Datuk Mazlan Aliman

KUALA LUMPUR- Selepas hampir tiga bulan dibentangkan di Parlimen, Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan syor-syor yang dikemukakan di dalam dokumen membabitkan bantuan kewangan sebanyak RM6.23 bilion.

Menurut Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman, antara syor utama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah menjelaskan baki tunggakan pinjaman sara hidup peneroka Felda di samping menyiapkan projek perumahan generasi kedua yang masih terbengkalai.

“Kerajaan memperuntukan kira-kira RM400 juta untuk menyelesaikan tunggakan tersebut manakala projek perumahan pula sudah ada yang lebih 70 peratus siap tetapi terbengkalai begitu sahaja.

“Ini antara isu yang sering dibangkitkan oleh golongan peneroka kepada kami.

“Kami memahami isu kewangan yang ditanggung kerajaan tetapi kami berharap agar peruntukan yang telah diumumkan dalam Kertas Putih Felda itu dapat segera disampaikan kepada golongan di peringkat bawahan,” katanya semasa sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan Felda di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada sudah ada peruntukan yang telah disalurkan kepada para peneroka, Mazlan berkata, beliau tidak mengetahuinya.

Dalam pada itu, MPNF juga mencadangkan supaya Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang lebih dikenali sebagai Akta GSA dipinda mengikut peredaran zaman.

Jelasnya, sesetengah kandungan akta berkenaan sudah tidak relevan dengan keadaan semasa di mana hampir 88 peratus peneroka Felda ketika ini telah berusia 60 tahun ke atas.

Bagaimanapun menurut Mazlan, di bawah Akta GSA, tanah Felda tidak boleh dipecah-pecahkan untuk dijadikan tanah pusaka kepada anak-anak peneroka, sebaliknya mereka hanya dilantik sebagai pentadbir selepas kematian ibu bapa sahaja atas dasar persefahaman di antara adik-beradik.

Ini telah menyebabkan masalah dalam banyak perkara terutama yang melibatkan pengurusan ladang dan penanaman semula.

“Bila ibu bapa mereka yang merupakan peneroka asal telah meninggal, timbul isu pengurusan ladang di bawah tanggung jawab siapa?

“Ini kerana tanah tersebut tidak dapat diwariskan kepada anak-anak mereka sebaliknya generasi kedua itu hanya bertindak sebagai pentadbir.

“Jadi, kami rasa sudah tiba masanya akta ini dipinda,” katanya lagi.- MalaysiaGazette