Zuraida Kamaruddin. foto NOOREEZA HASHIM, 19 JUN 2019.

PORT DICKSON, 4 Julai (Bernama) — Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menyifatkan tindakan memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz semalam sebagai langkah tepat.

Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagaimanapun berpendapat, tindakan itu seharusnya dilakukan dengan lebih cepat, bagi mengelakkan timbulnya lebih banyak spekulasi.

“Saya (berasa) ralat sedikit. Sepatutnya dia (Haziq Abdullah) dipecat lebih awal. Saya berharap sekiranya ada kes-kes seumpama ini di masa akan datang, tindakan yang tangkas dan cepat dapat diambil parti, supaya spekulasi dan penyebaran maklumat dapat dihentikan secepat mungkin.

“Kalau tidak dihentikan, nanti rakyat tiada kerja lain selain membaca cerita-cerita seperti ini. Macam mana hendak bangunkan negara. Kita perlu hentikan budaya seperti ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi dialog bersama warga Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di sini, hari ini.

Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemecatan Haziq Abdullah daripada PKR serta merta, atas kesalahan melanggar tatacara disiplin parti dengan tuduhan yang dibuat secara terbuka, termasuk mendakwa bahawa beliaulah lelaki yang bersama seorang pemimpin PKR dalam video seks viral.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesan kontroversi itu terhadap PKR, Zuraida yakin perkara itu tidak mencemarkan nama baik parti.

“Parti (PKR) tetap akan ada di situ,” katanya. – Bernama