Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud.

KUALA LUMPUR – Penyanyi warga Amerika Syarikat (AS), Maggie Lindemann hanya ditahan kurang daripada 24 jam dan bukannya lima hari seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita atas talian.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud yang memendang serius dakwaan itu berkata, pihaknya bertindak atas aduan yang telah diterima pada pukul 9.30 malam 21 Jun lalu dengan menerusi Ops Bersepadu yang dilakukan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIMWPKL) di premis hiburan The Bee, Publika.

Hasil operasi tersebut, katanya, dua warga tempatan dan tiga warga AS ditahan.

“Tangkapan tersebut dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tidak mendapat kelulusan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL),” katanya.

Beliau menyatakan demikian bagi menjelaskan laporan portal berita atas talian yang mendakwa Maggie Lindemann telah ditahan dan menghabiskan masa selama lima hari dalam suasana yang teruk (spent the next 5 days confined in a living hell).

Menurut Khairul, mereka yang ditahan telah diambil rakaman keterangan oleh pegawai penyiasat keesokan hari (22 Jun) untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Dua orang sabjek warganegara Malaysia telah dibuat jaminan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 4.00 petang,” ujarnya sambil menambah warga AS juga telah dibebaskan pada pukul 7 malam pada hari yang sama (22 Jun), yang mana penahanan mereka kurang daripada 24 jam.

Berikutan itu, Khairul berkata, dakwaan mereka ditahan selama lima hari adalah tidak benar dan tidak tepat dan pihaknya sentiasa melaksanakan tugas dan mengambil tindakan dengan teratur mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, Khairul menjelaskan, barang-barang kes masih ditahan untuk tindakan lanjut pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan bagi membolehkan kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Malah katanya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia pada 24 Jun lalu dengan setiap warga AS dikenakan kompaun sebanyak RM300 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial.

Mengulas lanjut, katanya, salah seorang penganjur telah di dakwa di Mahkamah Seksyen Jenayah Kuala Lumpur atas kesalahan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) pada 25 Jun lalu dan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM30,000 atau penjara satu bulan dari tarikh tangkapan jika gagal membayar denda tersebut.

Jelasnya, semua barang kes seperti yang direkod dalam borang rampasan telah diserahkan kepada mereka setelah proses perdakwaan ke atas penganjur selesai dijalankan dan pihak penganjur telah membayar denda Mahkamah. – MalaysiaGazette