KUALA LUMPUR – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan meninggal dunia selepas dibawa pengasuhnya ke hospital, setelah didapati tidak sedarkan diri di sebuah apartmen di Bandar Tasik Selatan di sini, pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pegawai perubatan dari Jabatan Kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz di sini menerima mangsa pada 10.45 pagi, Rabu lalu dan cuba menyelamatkan bayi berkenaan tetapi gagal.

“Resusitasi dilakukan terhadap bayi itu, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas dan bayi berkenaan disahkan meninggal dunia,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan pada hari sama mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kematian disebabkan jangkitan di paru-paru.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Bernama