foto SYAFIQ AMBAK, 04 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR- Kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak sebanyak RM99.53 juta bagi tempoh seminggu bermula dari 6 Julai 2019 sehingga 12 Julai 2019.

Menurut Kementerian Kewangan, ini adalah susulan keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga RON95 pada kadar RM2.08 seliter meskipun mengikut pengiraan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), petrol bersubsidi itu sepatutnya berharga RM2.23 seliter bagi tempoh 6 Julai sehingga 12 Julai ini.

Ia menyebabkan anggaran keseluruhan subsidi bagi RON95 adalah RM72.73 juta bagi tempoh tersebut.

Manakala anggaran subsidi bagi diesel pula adalah berjumlah RM26.80 juta sepanjang minggu berkenaan.

Ini bagi membolehkan kerajaan mengekalkan bahan api itu pada harga RM2.18 seliter berbanding RM2.32 seliter mengikut formula APM.

Tiada subsidi diberikan kepada petrol RON97 kerana harga runcitnya ditentukan berdasarkan formula APM.

Bagi tempoh 6 Julai sehingga 12 Julai ini, kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api tersebut sebanyak empat sen seliter menjadikannya RM2.53 seliter.- MalaysiaGazette