KUALA LUMPUR – Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri NajibĀ  Razak, Riza Aziz didakwa menerima wang berjumlah USD248.173 juta atau RM1.026 bilion hasil aktiviti wang haram lapan tahun lalu.

Anak kandung Datin Seri Rosmah Mansor itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan melibatkan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB).

Penerbit filem Wolf Of The Wall Street itu didakwa memperoleh wang tersebut dua lokasi berbeza di Amerika Syarikat dan Singapura pada tahun 2011 dan 2012.

Riza, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas ke semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama, dan kedua, Riza Shahriz Abdul Aziz, 43, didakwa menerima hasil dari aktiviti haram dengan menerima USD 1,173, 104.00 dan USD 9 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun milik Good Star Limited di RBS Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles Amerika Syarikat milik Red Granite Production Inc, yang mana wang tersebut adalah hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 April 2011 hingga 10 Oktober 2012 di City National Bank Los Angeles Main, 525 South Flowers Street, Los Angeles California, Amerika Syarikat.

Bagi pertuduhan ketiga hingga kelima pula, Riza didakwa menerima wang sejumlah USD238,000,000 daripada akaun milik Aabar Investments PJS Limited di BSI SA Lugano ke akaun BSI Bank Ltd.Singapore milik syarikat Red Granite yang mana wang tersebut adalah hasil penyelewengan 1MDB.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 18 Jun 2012 hingga 14 November 2012 di Ltd. Temasik Boulevard, #32-01 Suntec Tower One Singapura.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan Riza boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Riza yang merupakan anak Rosmah hasil perkahwinan pertama memasuki mahkamah pukul 9 pagi diiringi dua adiknya, Nooryana Najwa dan Norashman. – MalaysiaGazette