Foto Twitter Azizah Iskandar @cheminahsayang

KUALA LUMPUR – Musim buah durian ketika ini ibarat pesta apabila banyak gerai yang menjual raja buah itu di tepi jalan dan dapat menikmati dengan mudahnya.

Turut tidak ketinggalan bagi penggemar durian adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi ciapan di Twitter milik baginda, Tunku Azizah mencuri tumpuan apabila bertitah sambil memohon maaf kerana menikmati buah tersebut menggunakan sudu dan garfu.

“Saya minta maaf, sejak kecil lagi diajar oleh tok saya makan durian pakai camca garfu supaya tangan tak berbau.

“Begitu juga dengan rambutan, siap dikupas dan dihiris. Manggis juga begitu!” tulisnya bersahaja.

Status yang dimuat naik bersama gambar seulas durian yang diletakkan di dalam pinggan bersama dengan sudu dan garfu itu mendapat komen ramai netizen

Ada yang berpendapat Tunku Azizah telah memberi satu tip bermanfaat untuk penggemar durian.

Dua tahun lalu, isteri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu pernah tular di media sosial selepas gelagatnya yang bersahaja membeli durian tanpa sebarang protokol mendapat pujian netizen.

Baginda bersahaja berborak dengan seorang peniaga durian yang tidak mengenali dirinya hingga mencuit hati netizen kerana perbualan yang menghiburkan. – MalaysiaGazette