Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bercakap pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Ibu Pejabat BPM, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 05 JULAI 2019.

PUTRAJAYA – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata akar umbi parti harus memberikan kepercayaan kepada tiga pucuk pimpinan tertinggi parti itu.

Katanya, semua ahli perlu terus memberikan mandat kepada tiga pucuk pimpinan tertinggi parti itu untuk menerajui parti.

Malah katanya, sesiapa sahaja yang bersifat bertentang dengan prinsip tersebut boleh dianggap tidak bijak kerana parti itu kini menjadi salah satu komponen yang memimpin kerajaan.

“Semua ahli perlu kekalkan Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden, dan Datuk Seri Mukriz Mahathir sebagai Timbalan Presiden. Kalau ada yang berfikiran selain itu, saya kira mereka tidak berapa bijak dan tidak cerdik,” katanya dalam sidang media hari ini.

Faizal hari ini menerima Anugerah Pangkat Timbalan Kanan Persuruhjaya Bomba (Kehormat) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di ibu pejabat badan itu yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid.

Faizal berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz bahawa ada pimpinan bahagian mencadangkan tiga jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 20 Julai nanti.

Mengulas lanjut, Faizal berkata, beliau bersetuju dengan cadangan itu kerana kewujudan parti tersebut adalah hasil cetusan idea ketiga-tiga mereka, tiga tahun lalu.

“Saya yang paling setuju sekali malah saya nak kata kepada Ketua-ketua Bahagian di Perak bahawa kita kena sedar bahawa kewujudan Bersatu dicetuskan ilham oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ia bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin dan juga Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa rakan lain,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, ahli akar umbi parti itu menaruh keyakinan kepada tiga pucuk pimpinan tertinggi untuk terus diberi kepercayaan menerajui kepemimpinan pada pemilihan parti tidak lama lagi.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, beliau percaya seluruh ahli parti negeri meletakkan harapan penuh kepada Dr. Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz untuk terus memimpin Bersatu. – MalaysiaGazette