Bangunan Kementerian Kewangan. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan masih belum menerima maklum balas rasmi daripada Kerajaan Negeri Sarawak berhubung pinjaman RM1 bilion yang diperuntukan untuk projek membaik pulih sekolah daif di negeri itu.

Kementerian Kewangan berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan berhubung kaedah pelaksanaan membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti yang dinyatakan di dalam empat perkara di atas telah dijelaskan kepada Kerajaan Negeri Sarawak semasa mesyuarat di Kementerian Kewangan pada 11 Mac 2019 dan disusuli dengan surat bertarikh 20 Mac 2019.

Kerajaan Persekutuan secara dasar telah bersetuju untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Kerajaan Negeri Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

Pada masa ini Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak
RM2,375 juta.

Sekiranya RM1 bilion ini dibayar balik oleh Kerajaan Negeri Sarawak, maka Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1,375 juta.

Mekanisme perundangan yang ditetapkan adalah seperti berikut:

Pertama, Kerajaan Negeri Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh Kerajaan Negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

Keempat, Kerajaan Persekutuan bersedia mengambil kira keutamaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

Kementerian Kewangan menjelaskan cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.

Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion
tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak. – MalaysiaGazette