ROMPIN – Felda akan bangkit semula dengan keyakinan peneroka kembali utuh di bawah pengurusan baharu kerajaan Pakatan Harapan bagi membela masa depan golongan peneroka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata komitmen kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan Felda itu dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PPP yang merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman dan selingan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan aliran tunai konsisten dilancarkan pada sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata Felda di bawah kepimpinan pengasasnya Tun Abdul Razak Hussein, yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia, berjaya membantu mengurangkan jurang ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pembukaan tanah kerajaan, yang pada suatu ketika membolehkan negara menyumbang 25 peratus kepada pengeluaran kelapa sawit dunia.

“Malangnya sejak beberapa tahun lalu, kita menyaksikan kerakusan pimpinan atasan Felda yang terdiri daripada orang politik yang terlalu banyak bermain politik sehingga peneroka menjadi mangsa dan dibebankan dengan masalah besar,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan peneroka pada sambutan itu.

Mohamed Azmin berkata belajar daripada kesilapan itu, kerajaan Pakatan Harapan berjanji untuk memastikan pengurusan agensi itu hanya ditadbir oleh mereka berintegriti dan berwibawa.

Katanya pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi Felda, berkuatkuasa 1 Julai, dilihat berkemampuan untuk membawa agensi itu ke peringkat baharu dengan bantuan dan sokongan akar umbi peneroka.

Mohamed Azmin berkata PPP bukan hanya untuk memastikan masa depan lebih mampan dan menjaga kebajikan peneroka, tetapi juga berperanan melihat industri perladangan kekal maju dan meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan teknologi moden.

Selain itu, kerajaan juga amat maklum dengan permasalahan peneroka seperti bebanan hutang yang cukup tinggi dan masalah perumahan generasi kedua yang banyak terbengkalai.

Berhubung masalah perumahan terbengkalai, Mohamed Azmin berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM250 juta bagi menyiapkan projek perumahan berkenaan, khususnya yang tahap kemajuan pembinaannya sudah mencapai 70 peratus, pada tahun ini.

Katanya sebanyak 1,400 unit rumah generasi kedua sudah memperoleh sijil layak menduduki dan dijangka diserahkan kepada pemiliknya dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin berkata kerajaan menampung RM2 bilion untuk menghapuskan hutang peneroka dan walaupun jumlah itu besar, kerajaan menyifatkan ‘tidak mengapa’ asalkan hutang dapat dikurangkan demi membolehkan peneroka hidup dengan lebih selesa.

Beliau berkata kerajaan turut bersetuju supaya Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta dipecahkan bermula tahun depan kepada johan, naib johan dan tempat ketiga berbanding hanya satu pemenang sebelum ini.

“Saya percaya program AKKF ini dapat memupuk rasa muhibah, perpaduan dan persaudaraan antara peneroka di setiap kampung supaya bersama-sama bergotong-royong dengan semangat ukhuwah yang baik,” katanya. – BERNAMA