KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan wujud surat akaun bersumpah peralihan kuasa antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dengan keras menafikan ada menandatangani sebarang akaun bersumpah seperti yang ditularkan dalam media sosial, hari ini.

“Dokumen tersebut adalah palsu. Saya telah meminta pihak polis supaya menyiasat penularan dokumen palsu ini yang saya fikir adalah bertujuan untuk mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberikan nada sama.

Menurut beliau, dirinya tidak menandatangani surat berkenaan.

“Ini merupakan fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya juga dalam satu kenyataan.

Hari ini tular, satu akaun bersumpah menyatakan dua pemimpin tertinggi itu menyatakan sokongan dua pemimpin itu kepada Anwar untuk mengambil alih kepemimpinan negara daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Surat yang disertakan dengan cop Pesuruhjaya Sumpah itu menggunakan pencontoh (template) yang sama dan diakhiri dengan pengakuan kedua-dua pemimpin itu untuk mematuhi apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Anwar bagi memastikan proses peralihan jawatan Perdana Menteri berjalan dengan lancar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast