Dr. Sahruddin Jamal

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri akan merangka Pelan Pembangunan Bandar Pasir Gudang Yang Lestari sebagai langkah jangka masa panjang untuk mengatasi isu pencemaran alam sekitar di kawasan itu.

Menteri Besar Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata dalam pelan itu, pihaknya akan memperhalusi cadangan penempatan semula kilang-kilang kimia yang berisiko tinggi serta mewujudkan zon penampan di antara kawasan industri dengan penempatan penduduk.

“Langkah-langkah di atas menterjemahkan Kerajaan Negeri Johor serius dalam mengatasi isu pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang untuk jangka masa panjang,” kata beliau dalam ucapan penggulungannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di sini, hari ini.

Menurut Dr Sahruddin, selain pelan itu, dua jawatankuasa juga akan ditubuh bagi memantau pencemaran di Pasir Gudang.

Satu daripadanya ialah Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Saintifik yang akan menyelaras, mengawasi dan mengesan impak yang bakal berlaku di Pasir Gudang.

Jawatankuasa ini, yang disertai pelbagai jabatan teknikal dan pakar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga akan memperkasa aktiviti penguatkuasaan kepada kilang-kilang haram.

Sementara itu, Jawatankuasa Pemantauan pula ditubuhkan bagi melaporkan status terkini tahap pencemaran di Pasir Gudang dan akan dianggotai oleh wakil rakyat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pasir Gudang Emergency Mutual Aid (PAGEMA).

“Kedua-dua jawatankuasa ini akan bermesyuarat secara berkala dan memberi laporan terus kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, setiap bulan,” katanya.

Sejak insiden pencemaran di Pasir Gudang bermula Mac tahun ini, ramai pihak telah bangkit dan mula berbahas tentang isu pencemaran, bukan sahaja dari wakil parti pembangkang malah dari pihak kerajaan sendiri.

Katanya, terdapat banyak ‘juga cakap-cakap’ mengatakan dirinya tidak mengambil berat tentang isu pencemaran yang sedang berlaku.

“Sebenarnya Kerajaan Negeri Johor tidak pernah memandang remeh tentang kejadian pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang. Dalam kes Sungai Kim Kim, Kerajaan Negeri telah menyalur peruntukan RM6.4 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa toksik di kawasan itu.

“Dalam isu pencemaran udara di Pasir Gudang baru-baru ini, saya tidak berlengah-lengah dan tidak mengambil pendekatan lepas tangan.

“Sejurus saya selamat pulang ke tanah air dari mengerjakan umrah, saya segera turun padang untuk melawat mangsa yang terjejas. Saya telah meminta semua agensi kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu penduduk Pasir Gudang, khususnya dalam kalangan kanak-kanak sekolah,” katanya.- BERNAMA