Pemain pasukan JDT TMJ yang diketuai Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergambar bersama selepas memenangi Perlawanan Amal JDT All Stars di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 30 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Kem bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dikejutkan dengan serangan virus influenza hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 17 pemain menerima rawatan susulan selepas didapati positif simptom itu.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers, Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards memberitahu, 10 pemain membabitkan skuad senior JDT, empat pemain membabitkan JDT II manakala tiga lagi adalah pemain JDT III.

Jelasnya, beberapa kakitangan dan jurulatih turut didapati positif virus berkenaan.

“Pihak kelab mengambil langkah mengawal penularan virus dan menghantar semua pemain, jurulatih dan kakitangan untuk pemeriksaan kesihatan.

“JDT juga melakukan proses sanitasi kawasan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam bagi memastikan persekitaran selamat untuk semua,” katanya.

JDT akan berdepan kunjungan PJ City di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, esok sekali gus kemungkinan mengganggu perancangan jurulatih apabila 10 pemain terpaksa mendapat rawatan susulan selepas terkena virus terbabit. – MalaysiaGazette