Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengelak dari pertanyaan pengamal media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan beliau diejek dengan sorakan ‘boo’ ketika berucap di Felda Selancar 3, Rompin, Pahang semalam.

Klip video kejadian menunjukkan dirinya diboo ketika berucap di hadapan ribuan peneroka Felda dari dalam kalangan peserta sempena Hari Peneroka 2019 peringkat kebangsaan tular dalam media sosial sebelum ini.

Bagaimanapun beliau menafikan sorakan berbaur perlekeh itu ditujukan ke arah beliau.

“Takda.. saya ada di sana dan saya memberi ucapan yang panjang dan ketika itu kelihatan ada gangguan sedikit di belakang tetapi bukan ke atas saya.

“Saya rasa ada beberapa gangguan berlaku di belakang orang ramai berkumpul tapi kami tak tahu mengenainya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen untuk mendapatkan senario sebenar berhubung kejadian tersebut.

Ditanya apakah beliau mempunyai sokongan padu peneroka Felda, Ahli Parlimen Gombak itu pantas memberi reaksi;”Ya.. kehadiran disambut baik dan itu bukti mereka datang dari Sabah, Perlis dan serata negara menyambut kehadiran Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad.

“Mereka juga menyambut baik inisiatif baharu yang dibentangkan dalam kertas putih yang mencerminkan bahawa sokongan peneroka Felda terhadap model baharu.

“Lagi pun sambutan begitu besar yang mana inilah antara rally peneroka Felda terbesar yang pernah diadakan setakat ini”.

Malah Timbalan Presiden PKR itu juga menjelaskan Mahathir telah menggunakan ruang itu sebaik-baiknya mencerakinkan dan mengupas apa yang dimaksudkan tentang model baharu Felda.

Mohamed Azmin juga diminta menjelaskan ejekan itu dikaitkan dengan kehadirannya ke Felda negeri Pahang itu yang ditadbir oleh UMNO.

Pemimpin kanan itu bagaimanapun menyangkal dakwaan itu.

“Saya rasa Menteri Besar Pahang dan exco negeri yang bertanggungjawab turut hadir ke majlis. Kami mempunyai kerjasama yang baik..lagi pun sebelum PM pergi ke Pahang saya menerima surat daripada menteri besar untuk membincangkan mengenai beberapa projek infratruktur utama di negeri itu.

“Kementerian kami sedang meneliti perkara itu dan baru-baru ini telah mempertimbangkan tiga projek mega di sana yang telah pun diluluskan PM,” ujarnya lagi.

Sambung beliau, Mahathir dalam ucapan semalam mengumumkan projek itu menelan kos berjumlah RM23 juta dan ini bukti kita tak pernah mengenepikan kepentingan negeri Pahang.- MalaysiaGazette