Ismail Mohamed Yusoff

KUALA LUMPUR – PadiBeras Nasional Berhad (Bernas) berjaya melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan memastikan bekalan beras negara sentiasa mencukupi.

Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusoff berkata, sejak tahun 1993, tidak pernah pun berlaku krisis beras.

“Lahirnya Bernas sejak 25 tahun lalu memberikan satu permulaan baharu buat industri padi dan beras negara.

Apa yang pasti sejak penswastaan, Bernas tidak pernah sekali tersasar dari tanggungjawabnya melindungi kepentingan rakyat dan lebih 140,000 pesawah berdaftar di negara ini,” katanya ketika ditemui semasa majlis meraikan ulang tahun ke-25 Bernas.

Bernas yang mengambil alih peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) diswastakan pada 1 Januari 1996 sebagai penjaga industri padi dan beras tempatan.

Di bawah Perjanjian Penswastaan yang ditandatangani dengan kerajaan pada tahun 1996, Bernas dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara stok beras negara, selain bertindak sebagai pengedar beras.

Selain itu, Bernas juga memikul peranan sebagai pembeli hasil petani padi, menguruskan Skim Pengilang Padi Bumiputera dan pengagihan Harga Padi Subsidi kepada petani bagi pihak kerajaan.

Ismail berkata, negara kini menghasilkan 2 juta metrik tan padi atau 1.2 juta tan metrik beras setahun dan mengimport 800,000 tan metrik dari negara-negara lain.

Mengulas mengenai tentang kedudukan tempoh perjanjiannya dengan kerajaan sebagai pemegang permit (AP) tunggal pengimport beras dalam negara yang bakal berakhir pada tahun 2021, Ismail enggan mengulas.

Bagaimanapun, kata beliau, Bernas sentiasa berbincang dengan kerajaan dalam menambah baik sistem pengurusan beras sedia ada termasuk model-model baharu.

Beliau percaya dan yakin sistem pengurusan beras yang dilaksanakan sejak 45 tahun ini adalah terbaik.

“Saya tidak boleh bercakap mengenai itu tetapi kita sering berbincang dengan kerajaan.

“Dan, saya percaya sistem pengurusan beras yang dilaksanakan sejak 45 tahun lalu adalah yang terbaik,” ujarnya. – MalaysiaGazette