Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menjelaskan tahanan warga Filipina yang didakwa diberi makan nasi basi di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini tidak benar.

Ini kerana mereka telah disediakan makanan sebanyak empat kali sehari, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, setiap tahanan juga dapat menikmati tiga ekor ikan setiap kali hidangan selain potongan ayam mengikut saiz beserta sayur yang berkualiti dan berkhasiat.

Beliau memberitahu, pengurusan depot sentiasa memantau dan menimbangkan spesifikasi menu makanan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Jadi dakwaaan tahanan diberi makanan basi adalah tidak benar sama sekali malah tiada kes keracunan yang dilaporkan sebelum ini.

“Setiap blok juga telah dipasang mesin penapis air agar setiap tahanan dapat minum air yang bersih dan berkualiti,” katanya selepas lawatan media di Depot Imigresen Bukit Jalil di sini hari ini yang turut diketuai Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Kamal Affandi Hashim.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menjawab dakwaan satu badan bukan kerajaan dari Filipina yang melaporkan beberapa warga negara itu yang diusir bersama dua bayi dari Malaysia dilayan seperti haiwan di Depot Imigresen Bukit Jalil.

Laporan di laman web Filipina Migrante International pada 4 Julai lalu turut mendakwa hampir semua barang milik tahanan itu dicuri warden dan pegawai imigresen ketika mereka dalam tahanan.

Malah laporan turut mendedahkan ‘muster’ atau pemeriksaan rutin setiap lima minit dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah malam dimulakan dengan teriakan warden tahanan dan pegawai jabatan itu.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee menegaskan, warden dan pegawai depot hanya menggunakan suara tinggi untuk memberi arahan memandangkan perlu mengendalikan tahanan yang ramai melibatkan 1,400 tahanan yang dilengkapi empat blok.

Jelasnya beliau, jika tidak menggunakan nada yang tinggi bagaimana suara warden dapat didengari oleh semua tahanan ketika membuat pemeriksaan.

“Mengenai kes kecurian, semua barang tahanan tidak boleh dibawa ke dalam sel tahanan sebaliknya disimpan di dalam stor.

“Mengikut rekod kami, tahanan Filipina itu hanya membawa sehelai pakaian ketika ditahan dan mereka tidak membawa barangan lain. Jadi tuduhan itu adalah tidak benar,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee menambah, kerajaan telah memperuntukan kos makanan tahanan adalah sebanyak RM80 juta setahun bagi semua depot bagi membolehkan tahanan diberikan menu makanan yang berkualiti serta dimasak serta disaji dengan baik.

Tegas beliau, penyediaan makanan adalah mengikut diet makanan yang telah ditetapkan dalam kontrak pembekalan makanan seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM14.24 juta pada tahun ini bagi perbelanjaan mengurus 14 depot di seluruh negara.

“Jumlah seluruhan peruntukan operasi Depot adalah RM139 setahun termasuk kos penghantaran pulang, kos makanan tahanan dan penyelenggaraan,” katanya yang memberitahu kerajaan menanggung kos makanan bagi setiap tahanan adalah RM12 sehari.

Dalam pada itu, kes tahanan Filipina itu bermula pada 14 Jun lalu apabila Jabatan Imigresen telah menjalankan OPS PINTU di Kajang, Selangor.

Ketika operasi, lapan warga asing termasuk tiga kanak-kanak telah ditahan dan penjaga kanak-kanak itu diminta menghubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Namun ibu bapa itu gagal dihubungi dan ke semua mereka ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil selama dua minggu.

Selepas selesai siasatan dan mendapat kepuitusan Timbalan Pendakwa Raya, mereka diusir  ke negara asal pada 3 Julai lalu dan setiba di Manila telah memberi dakwaan berunsur fitnah mengenai layanan dan pengalaman buruk di depot itu. – MalaysiaGazette