Keputusan kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) perlu mengambil kira kebajikan 7,000 pekerja di jajaran rel berkenaan di Terengganu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mungkin diraikan dalam satu majlis pelancaran semula pada 25 Julai ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Tambahnya, projek tersebut juga mempunyai potensi tinggi untuk merangsang ekonomi dan dalam masa sama sangat berkesan untuk meningkatkan kesalinghubungan.

Tambahan pula pada kali ini, syarikat-syarikat tempatan juga akan memainkan peranan yang lebih besar dalam projek berkenaan apabila perjanjian tambahan yang ditandatangani oleh Malaysia-China pada April lalu memperuntukkan 40 peratus kerja-kerja sivil diberikan kepada syarikat Malaysia.

“Kami berharap kita akan mengambil peluang sepenuhnya daripada projek ini untuk memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia, bukan sahaja semasa proses pembinaan tetapi keseluruhan rangkaian laluan ini akan membolehkan projek-projek perindustrian dijalankan di sepanjang laluannya,” katanya semasa Persidangan Kepimpinan Wanita dalam Industri Rel di Malaysia hari ini.

Projek ECRL telah tertangguh selama beberapa bulan bermula Julai tahun lepas apabila terma-terma pembinaannya terpaksa dirunding semula.

Dalam pada itu, Anthony turut membayangkan “mungkin ada berita gembira” mengenai Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Baru dan Singapura dalam tempoh dua bulan lagi.

“Saya berharap untuk melihat RTS dapat dilaksanakan.

“Saya percaya ianya akan berlaku, kita akan sentiasa mencari penyelesaian kreatif dan saya berterima kasih kepada rakan-rakan kita di Singapura yang sangat pragmatik dan banyak membantu kami di dalam mencari penyelesaian kepada masalah tersebut,” katanya.

Projek RTS terpaksa ditangguhkan sehingga hujung September ini bagaimanapun, Anthony berkata, beliau yakin perjanjian akan dapat dicapai sebelum itu September.

Katanya, kerajaan Malaysia juga sentiasa mencari jalan untuk menghidupkan satu lagi projek rel yang sedang ditangguhkan iaitu Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Projek tersebut ditangguhkan sehingga Mei tahun depan. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.