Saksi yang merupakan bekas Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 8 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Pinjaman SRC International Sdn Bhd mendapat campur tangan secara langsung oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perkara itu didedahkan oleh pegawai Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad yang menerima tekanan  mempercepatkan proses permohonan  oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Pada pinjaman pertama dan kedua saya ditanya pegawai saya Afidah Azwa kenapa perlu disegerakan.

“Ini kerana puan Afidah tidak mempunyai masa mencukupi untuk buat pengesahan maklumat dari SRC sebelum dimasuk dalam memo kabinet untuk disedia bentang kepada mesyuarat kabinet.

“Saya telah maklumkan bahawa arahan pada saya dari KSP adalah untuk buat dengan segera, kerana SRC dapat perhatian khas daripada PM iaitu Datuk Seri Najib sendiri dan dana keperluan adalah mendesak,” kata Maliami kepada Mahkamah Tinggi hari ini.

Beliau turut menyifatkan perkara itu sebagai seperti kelaziman.

Beliau selain itu berkata maklumat tentang pinjaman syarikat itu terhad khususnya berkenaan tujuan pinjaman demi mendapatkan kelulusan kabinet.

“Pada masa itu, maklumat yang diberikan kepada saya adalah terhad. Surat (dari SRC International memohon jaminan kerajaan) hanya mempunyai dua perkara: Syarat pinjaman dan justifikasi pinjaman, yang hanya satu perenggan. Ini tidak cukup untuk dikemukakan kepada kabinet.

“Justifikasi itu dibaca sebagai “tujuan jaminan kerajaan adalah untuk memastikan sumber tenaga berterusan dalam tempoh ini untuk memastikan pembangunan negara,” tambahnya.

Maliami merupakan bekas Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan yang menjadi saksi ke-43 perbicaraan  terhadap bekas Najib melibatkan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette