Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin atas kesalahan menghina Sultan Selangor kira-kira tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman ketika menjatuhkan penghakiman itu memaklumkan berlaku pindaan hukuman terhadap Wan Ji yang mana sebelum ini Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara.

Setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang dari pihak pendakwaraya, mahkamah meminda hukuman kepada setahun.

“Mahkamah dengan ini meminda hukuman sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen kepada penjara bagi tempoh satu tahun dan hukuman berkuatkuasa hari ini.

“Hukuman ini diputuskan selepas saya menimbang faktor mitigasi dan keseriusan kes,” katanya dalam perbicaraan penetapan hukuman ke atas Wan Ji di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

September 2014, Wan Ji ditangkap polis kerana menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk melibatkan isu agama dalam akaun Facebooknya mengaku tidak bersalah.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, Shah Alam kira-kira jam 10 pagi 5 November 2012.

Dengan itu, pada 9 April lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mohd Sabri Ismail menjatuhkan hukuman sembilan bulan penjara selepas didapati Wan Ji bersalah terhadap pertuduhan itu.

Bagaimanapun, kes Wan Ji dibawa ke Mahkamah Tinggi dan dalam penghakiman ke atasnya, Abdul Halim berkata, penerbitan kata-kata menghasut adalah satu penghinaan terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Apa yang beliau terbitkan daripada penerbitan itu bukan sahaja sesuatu yang menghasut, malah ia cuba menanam sifat kebencian rakyat terhadap Institusi Raja-Raja.

“Saya mendapati ianya adalah sesuatu yang sudah terang lagi bersuluh dan menjatuhkan hukuman satu tahun dengan pindaan hukuman,” katanya. – MalaysiaGazette