Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran (dua kanan) melawat pameran pada Majlis Penutup TVET Conference 2019 di Hotel Marriot Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 JULAI 2019

PUTRAJAYA – Selain tawaran bekas Pengerusi AirAsia Bhd., Datuk Pahamin Ab Rajab untuk mengambil alih Malaysia Airlines Bhd. (MAS), terdapat tiga lagi pihak yang membuat cadangan sama terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kesemua cadangan itu harus diteliti bagi memastikan sejarah lama MAS tidak berulang .

“Sekarang ada empat tawaran. Kita kena kaji dengan cermat pasal kita sudah tukar banyak kali. Tidak juga berjaya. Kita kena cari seseorang yang berpengalaman,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sesi dialog Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Eksekutif Industri sempena Persidangan TVET, hari ini.

Jumaat lalu, Pahamin dan lima lagi rakan kongsinya dilaporkan berminat untuk mengambil alih MAS.

Malah, beliau turut memberi jaminan tidak akan memberhentikan pekerja syarikat penerbangan itu sekiranya cadangan mereka memulihkan syarikat penerbangan itu diterima kerajaan.

Difahamkan, Pahamin menawarkan untuk membeli 49 peratus kepentingan MAS dan 51 peratus kepentingan yang dipegang oleh Khazanah Nasional menerusi syarikat mereka, Najah Air Sdn. Bhd.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada mahu menutup, menjual atau membiayai semula MAS yang berdepan masalah kewangan. -MalaysiaGazette