Bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Datuk ONN, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 JULAI 2019 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN oleh dewan tertinggi gabungan parti itu.

Pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung BN menerusi kenyataan selepas dua jam mengadakan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi parti di Bangunan Menara Dato Onn PWTC di sini malam tadi.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Najib ke jawatan berkenaan disokong sebulat suara oleh Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat malam ini.

“Beliau (Najib) akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti ini,” kata Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan itu.

Hadir sama pada mesyuarat berkenaan ialah Najib, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Wee Kaa Siong dan sayap wanita, pemuda dan wanita UMNO.

Pada 30 Jun lalu, Ahmad Zahid  mengumumkan kembali menggalas tugas presiden selepas bercuti sejak 18 Disember tahun lepas susulan penghijrahan keluar beberapa pemimpin parti dan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Najib menyokong tindakan Ahmad Zahid kembali menjakankan tugasnya itu walaupun mendapat kritikan daripada banyak pihak termasuk di dalam UMNO. – MalaysiaGazette