Najib Razak

KUALA LUMPUR – ‘Perang’ di antara chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih berlanjutan memasuki hari kedua.

Redzuawan yang lebih dikenali sebagai Chef Wan menuduh Najib tidak memahami kenyataan yang ditulis di dalam Instagram beliau mengenai peneroka Felda yang pemalas dan mempunyai anak yang ramai seperti anak kucing adalah sekadar kiasan.

WhatsApp Image 2019-07-09 at 12.39.36 PM
Hantaran terbaharu Chef Wan yang menuduh Datuk Seri Najib telah memfitnah beliau.

Beliau juga menuduh bekas Perdana Menteri itu telah memfitnahnya dan bersikap hipokrit.

“Panggil Isa Samad tu esok jugak saya nak serah kan Anugerah Icon FELDA itu kepada beliau dan Najib!

“Memang manusia2 yg jahat ini langsung tak takut dosa memfitnah saya yg bukan2.

“Just disgusting.

“Lepas tu boleh pulak Solat 5 waktu mengadap Allah.

“How do all this hippocrite do it?” katanya satu hantaran terbaharu di Instagram.

Menurut Chef Wan, semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, beliau pernah diminta oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi motivasi dan memperkasakan peneroka-peneroka Felda dan luar bandar dengan memberi tumpuan kepada isu-isu sosial yang dihadapi oleh golongan tersebut.

“Chef Wan tolong bawa isu-isu ini, mereka yang malas, mencuri, menipu duit baja baja, kawin lagi, ambil dadah dan macam-macam lagi sebelum anda memberi motivasi kepada mereka dan kongsikan pengalaman hidup Che Wan serta kesusahan yang anda hadapi sebelum berjaya seperti hari ini.

“Saya nak tanya Najib jika saya ini manusia yg tak baik dan tidak berjaya di dalam kerjaya saya mengapa hantar saya untuk membantu beliau dan kementeriannya?” katanya.

WhatsApp Image 2019-07-09 at 12.41.14 PM
Hantaran asal Chef Wan di Instagram beliau semalam yang telah dimuat naik semula oleh Datuk Seri Najib.

Hantaran Chef Wan itu kemudiannya dibalas Najib melalui satu hantaran terbaharu di Facebook beliau.

Menurut Najib, sekiranya tukang masak terkenal itu tidak melakukan sebarang kesalahan, mengapa beliau telah menyunting hantaran asalnya.

Malah beliau turut memuat naik hantaran Instagram asal yang telah dibuat oleh Chef Wan.

“IKON FELDA kata saya salah tafsir tegurannya kepada peneroka-peneroka.

“Dia tuduh saya fitnah dan suruh saya tutup mulut.

“Katanya, teguran IKON itu adalah kepada sebahagian warga Felda yang suka kahwin lebih dari satu tetapi tidak bertanggungjawab kepada keluarga dan bukan dimaksudkan kepada ‘semua orang FELDA’.

“Tapi kalau dia tak salah, kenapa dia telah sunting hantaran Instagram?

“Tak apa, saya paparkan saja apa yang IKON pernah tulis sebelum dia edit.

“Rakyat boleh menilai siapa yang memfitnah,” katanya.- MalaysiaGazette