Datuk Seri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan empat warga asing di Selangor dan Kedah kerana terlibat dalam kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, keempat-empat suspek ditahan itu terdiri daripada dua warga Myanmar dari etnik Rohingya, seorang warga Filipina dan seorang warga India.

Dalam satu kenyataannya hari ini, suspek pertama warga Filipina berusia 54 tahun ditahan pada 14 Jun lalu di Klang yang bekerja sebagai pendawai elektrik.

“Suspek ditahan kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group dan terlibat membantu aktiviti kidnapping for ransom di perairan Sabah.

“Suspek disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki pihak Eastern Sabah Security Command (ESSCOM),” katanya.

Suspek dikatakan menggunakan kad pengenalan palsu untuk menetap secara haram di negara ini.

Menurut Abdul Hamid, tangkapan kedua pada 21 Jun lalu di Ampang melibatkan seorang lelaki warga India berusia 24 tahun yang bekerja sebagai penyelenggara lif.

“Suspek ditahan kerana bertindak sebagai fasilitator kepada anggota kanan kumpulan pengganas, Babbar Khalsa International yang memasuki negara ini pada November 2018 dan Jun 2019,” katanya.

Suspek juga, katanya, telah menyalurkan wang sebanyak RM7,600 bagi membiayai aktiviti kumpulan yang sama di Asia Tenggara.

Tangkapan ketiga pula melibatkan seorang warga Myanmar berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan.

Suspek merupakan penyokong kumpulan Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) dan telah ditahan kerana memuatnaik video ugutan ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed menerusi media sosial.

Suspek juga pernah ditahan sebanyak tiga kali kerana memasuki Malaysia secara haram pada tahun 1997, 2012 dan 2015 menggunakan dokumen perjalanan palsu.

Suspek juga pernah terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia.

Tangkapan keempat pula, katanya, dilakukan pada 3 Julai lalu di Alor Setar, Kedah melibatkan seorang warga Myanmar berusia 25 tahun yang bekerja sebagai guru madrasah di Bukit Pinang.

Suspek ditahan kerana memberi sokongan kepada ARSA.

Kesemua suspek ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Bab VIA- kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah akta kesalahan keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2019 (Akta 747).- MalaysiaGazette