Chef Wan

KUALA LUMPUR – Menobatkan Chef Wan sebagai Ikon Felda membangkitkan kemarahan warga peneroka.

Menurut Setiausaha Majlis Belia Felda Malaysia Wilayah Terengganu (MBFWT) Syahiran Annuar, warga Felda tertanya-tanya rasional mengiktiraf chef selebriti itu.

Tambah beliau, Chef Wan secara langsung tidak memberi sumbangan untuk dibanggakan warga itu.

“Jika dilihat bahawa rekod Chef Wan juga bukan merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan. Kritikan yang sangat tidak adil mengenai Felda dan kerajaan terdahulu dalam media social merupakan luka yang masih berdarah.

“Timbul persoalan mengapakah orang yang tidak pernah terlibat secara rasmi dalam Felda dapat memenangi anugerah ini? Ikon bermaksud, seseorang yang mempunyai kejayaan yang boleh dibanggakan dan mampu menjadi suri teladan buat masyarakat Felda.

“Bagi saya Chef Wan adalah sangat janggal untuk diangkat sebagai Ikon Felda,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Felda digesa menarik kembali pengiktirafan tersebut.

“Dengan ini kami menggesa Pihak Felda agar menarik semula gelaran Anugerah IKON FELDA yang telah diberikan Chef Wan serta-merta atau berhadapan dengan kemarahan warga Felda yang semakin terpinggir dalam pembinaan Malaysia Baru,” kata Syahiran.

Sempena Hari Peneroka 7 Julai yang lalu, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Ikon Felda 2019.

Pengiktirafan itu adalah daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.-MalaysiaGazette