Rizuan Rahmat

KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor (DUPNS) kesal dengan lantikan seorang transgender iaitu Rania Zara Medina sebagai ahli Country Coordinating Mechanisme (CCM) 2019-2021 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

CCM merupakan badan ahli jawatankuasa yang mewakili negara untuk menyedia permohonan dan mendapatkan dana dari Global Fund untuk penyakit aids, malaria dan sebagainya.

Ketua DUPNS, Rizuan Rahmat berkata, mereka yang dilantik dalam jawatankuasa ini perlulah terdiri dari mereka yang mempunyai integriti yang boleh mewakili suara negara dengan bijak dan matang.

Menurutnya, apabila negara mengambil kelompok dari transgender, secara tidak langsung, ia mengiktiraf kelompok yang mempunyai kecelaruan identiti bagi mewakili negara.

“Cukup banyak orang yang jauh lebih layak untuk mewakili rakyat Malaysia, tetapi kenapakah kumpulan ini yang diutamakan,” soalnya.

“Sebelum ini, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof tampil ke udara bersama seorang ratu transgender, Nisha Ayub dalam satu siaran televisyen dan adakah ini aplikasi konsep Rahmatan lil Alamin yang akhirnya membawa kepada menggadaikan prinsip Islam dan nilai budaya Melayu Malaysia?

“Dengan pelantikan ini, adakah kerajaan Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) telah mengiktiraf kumpulan ini?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast