Zuraida Kamaruddin
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bercakap kepada media selepas sidang media Hi Home Property Conference 2019 di Royal Lake Club, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 10 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau pembeli rumah kali pertama akan dikeluarkan daripada senarai hitam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) hanya untuk pembelian rumah sahaja.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu dijangka mula dikuatkuasakan selepas Skim Perumahan Belia bermula Oktober ini.

“Bagi graduan atau pembeli kali pertama, di mana ada senarai hitam dengan CCRIS, mereka boleh dikecualikan daripada senarai hitam untuk pembelian rumah.

“Mereka tidak akan dikenakan senarai hitam oleh CCRIS untuk beli rumah saja, kereta tak boleh, beli rumah boleh.

“(Kuat kuasa) kita ada pelancaran dengan YB Syed Saddiq pada 18 Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Hi Home di Kelab DiRaja, Taman Tasik Perdana, di sini, hari ini.

Zuraida dalam sidang media itu berkata, kerajaan sedia membantu pembeli rumah pertama itu khususnya peminjam PTPTN dan lepasan universiti yang menghadapi kesukaran membeli rumah selepas disenaraihitamkan dalam CCRIS.

Zuraida juga berkata, perkara itu sudah dibincangkan pihaknya dengan Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan bulan lalu sebelum cadangan itu dimajukan kepada Bank Negara Malaysia BNM).

“Saya sudah cakap dan ia ada kelulusan daripada Bank Negara, untuk itu saya kena pergi kepada PTPTN. Saya sudah hubungi beliau (Wan Saiful) sebulan lalu.

“Ia sudah selesai, ia sudah dilaksanakan. Bagi kementerian saya, pengecualian itu (senarai hitam) untuk pembelian semua jenis rumah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette