Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berjabat tangan dengan Presiden Filipina di Istana Malacanang, Manila, semalam. foto Johor Royal Press Office

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato’ Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ) kepada Presiden Filipina, Rodrigo Duterte.

Presiden Filipina itu juga memberi gelaran Darjah Kebesaran (Order Of Sikatuna) yang membawa gelaran Datu kepada Sultan Johor.

Majlis berlangsung di Istana Malacanang, Manila semalam, sempena lawatan Sultan Johor atas jemputan peribadi Duterte.

Johor Royal Press Office dalam kenyataan berkata, dalam lawatan itu, baginda dan Duterte telah mengadakan pertemuan tertutup yang berlangsung selama hampir sejam.

“Baginda Tuanku Sultan bersama delegasi kemudian diraikan dalam satu majlis santapan malam bersama Presiden Filipina. Baginda Tuanku Sultan dan Presiden Filipina turut bertukar cenderahati serta merakam gambar kenangan.

“Sempena lawatan itu, Presiden Filipina Rodrigo Duterte turut menghadiahkan sebuah potret lukisan wajah DYMM Sultan Johor,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette