Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin

KUALA LUMPUR – Semua pihak agar diminta menghentikan segera sebarang bentuk solidariti terhadap Wan Ji Wan Hussain telah disabitkan dengan hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan menghina Sultan Selangor.

Tindakan mengadakan solidariti itu tidak mencerminkan penghayatan dan kepatuhan terhadap rukun negara iaitu kesetiaan kepada Raja dan Kedaulatan undang-undang.

Sebaliknya, ia membawa kekeliruan di kalangan masyarakat dalam memahami matlamat hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah tersebut adalah untuk memelihara institusi diraja.

Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, apa yang lebih mendukacitakan, solidariti ini datang daripada kalangan pimpinan Pakatan Harapan yang menjadi tonggak kerajaan namun insiden seumpama itu seolah-olah hendak memusnahkan Institusi Diraja yang sepatutnya dipelihara oleh kerajaan.

“Kesan solidariti itu juga menunjukkan penghinaaan kepada institusi kehakiman dan diburukkan lagi dengan kenyataan pimpinan utama parti kerajaan yang dilihat mahu mencampuri bidangkuasa kehakiman.

“Keadaan ini mencerminkan undang-undang rimba cuba diamalkan oleh sesetengah pimpinan kerajaan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sewajarnya semua pihak mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah dan berusaha agar perilaku penghinaan terhadap Sultan perlu dihindari pada masa akan datang.

Tegasnya, tindakan solidariti terhadap Wan Ji Wan Hussain adalah sangat tidak beretika, subjudis dan perlu dihentikan segera oleh semua pihak demi memelihara institusi diraja kerana pesalah masih mempunyai peluang terakhir untuk merayu hukuman tersebut di Mahkamah Rayuan. – MalaysiaGazette