Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Makan Malam Amal Penghargaan Sogo di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara tidak akan mencapai kecemerlangan optimum sekiranya mengabaikan rakyat khususnya golongan miskin.

Menurut beliau, sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus yang diunjurkan tahun ini tidak bermakna sekiranya golongan itu khususnya siswazah masih dibelenggu dengan pengangguran.

“Minggu depan, Kaukus Parlimen akan bersidang bagi membawa pembaharuan dalam menangani isu pembangunan ekonomi yang mampan dan keperluan untuk mewujudkan peluang pekerjaan untuk graduan dari kumpulan B40.

“Ini adalah di bawah tanggungjawab kita kerana keseluruhan agenda pembaharuan akan gagal jika kita tidak memenuhi aspirasi asas masyarakat,” katanya dalam Majlis Makan Malam Amal Penghargaan Sogo 2019 di ibu negara.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak tampil berganding bahu dalam membuka peluang pekerjaan, khususnya siswazah yang bertungkus lumus memastikan mereka mendapat keputusan cemerlang di peringkat institusi pengajian tinggi.

“Kita mempunyai tanggungjawab kepada graduan di negara ini, yang berkorban dan membanting tulang untuk mendapatkan ijazah merangkumi pelbagai bidang kepakaran.

“Oleh itu, kita harus beri peluang kepada mereka untuk mengorak langkah pertama dalam dunia pekerjaaan, sekali gus meraih manfaat daripada ekonomi Malaysia yang dinamik,” katanya lagi.

Selasa lalu, Anwar yang mempengerusikan mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen berkata isu pengangguran siswazah, khususnya daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menjadi topik utama perbincangan kaukus kali ini.

Malah, kaukus itu akan turut membincangkan mengenai isu mahasiswa miskin di universiti awam (UA). – MalaysiaGazette