Sanjiv Singh. foto BBC

JAKARTA – Keluarga mangsa pesawat Boeing 737 Max yang terhempas di Indonesia tahun lalu didakwa telah ditipu dengan pampasan, dakwa para peguam.

Beberapa peguam memaklumkan kebanyakan keluarga mangsa telah dipujuk untuk menandatangani borang yang menyatakan persetujuan mereka tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Boeing.

BBC mendapati ada segelintir keluarga mangsa nahas itu telah menandatangani perjanjian seumpama itu selepas tragedi itu, sekali gus menghentikan tindakan saman ke atas Boeing di mahkamah Amerika Syarikat.

Boeing enggan mengulas mengenai perjanjian berkenaan.

Dalam nahas itu kesemua 189 orang penumpang dan anak kapal mati selepas Boeing 737 Max terhempas di perairan Indonesia, kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober tahun lalu.

Beberapa minggu selepas kejadian, keluarga mangsa telah ditawarkan pampasan oleh peguam-peguam insurans.

Bagi mendapatkan wang itu, keluarga mangsa diminta menandatangani perjanjian yang mengelakkan mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap Boeing dan Lion Air.

Seorang balu, Merdian Agustin berkata, suaminya maut dalam nahas itu dan peguam-peguam insurans telah memberi tekanannya untuk menandatangani perjanjian tersebut.

“Mereka memberi saya beberapa dokumen untuk ditandatangani. Dokumen itu menyatakan saya boleh mendapat wang itu tetapi tidak boleh menyaman Lion Air dan Boeing.

“Mereka kata saya patut menandatanganinya, saya perlu melihat masa depan. Dalam tempoh satu atau dua jam saya akan menerima wang dan meneruskan kehidupan.

“Tetapi pada saya, ia bukan duit semata-mata. Ia adalah nyawa suami saya,” kata Merdian sambil memberitahu kira-kira 50 keluarga telah menandatangani perjanjian yang membolehkan keluarga menerima pampasan di bawah AS$92,000 seorang.

Pembayaran itu menjadi kontroversi kerana di bawah undang-undang Indonesia, keluarga mangsa secara automatik layak menerima pampasan sejumlah AS$71,000.

Sanjiv Singh, seorang peguam Amerika Syarikat yang mewakili beberapa keluarga memberitahu keluarga-keluarga mangsa telah ditekan untuk menandatangani perjanjian berkenaan.

“Keluarga yang menandatangani perjanjian itu telah ditipu mengenai pampasan selepas diperdaya oleh syarikat insurans dan oleh peguam syarikat-syarikat insurans itu dan akhirnya menguntungkan Boeing,” katanya.

Beliau menambah, keluarga mangsa nahas itu berpotensi mendapat ganti rugi berjuta-juta dolar.

Ini bukan kali pertama Boeing mendapat manfaat daripada dokumen pembebasan dan pelepasan kontroversi.

Pada tahun 2005, sebuah Boeing 737 terhempas di kawasan kediaman di Indonesia, membunuh 149 orang.

Keluarga-keluarga mangsa juga telah menandatangani perjanjian yang menghalang mereka daripada menyaman Boeing di mahkamah Amerika Syarikat.

Perjanjian serupa juga telah ditandatangani selepas kemalangan Boeing 737 yang mengorbankan 102 penumpang dan anak kapal pada 2007. – MalaysiaGazette