Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md. Salleheen Mohamad

KUALA LUMPUR – Majlis belia seluruh negara di semua peringkat sehingga kini masih belum menerima peruntukan pentadbiran meskipun sudah mencecah 400 hari pemerintahan pemerintahan Pakatan Harapan.

Perkara tersebut disahkan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Md. Salleheen Mohamad yang menyifatkan perkara tersebut di luar kelaziman.

“MBNJ ingin memaklumkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) bahawa sudah 400 hari, semua belia induk di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah tidak lagi mendapat peruntukan pentadbiran seperti kelaziman semasa kerajaan terdahulu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau menganggap tindakan itu sebagai penganiayaan kepada persatuan belia seluruh negara dan jelas membuktikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak berhasrat untuk memperkasakan pembangunan golongan itu.

Md. Salleheen selain itu menyelar Syed Saddiq yang didakwanya sehingga kini gagal menggerakkan jawatankuasa khas bagi menangani kadar pengangguran belia seperti yang dijanjikannya sebelum ini.

“Belia Johor sememangnya tidak pernah mengharap apa bantuan atau peruntukan daripada kerajaan Persekutuan terutamanya Kementerian Belia dan Sukan yang telah menzalimi dan menganiaya persatuan belia selama ini,” ujarnya.

“Jelas, Menteri Belia dan Sukan bukan mahu memperkasakan pembangunan belia di negara ini tetapi sentiasa bermain politik dengan belia demi kuasa dan jawatannya.

“Malah, menteri pernah berjanji untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk menangani kadar pengangguran belia dan akan memastikan kadar pengangguran belia menurun daripada 11 peratus kepada 10 peratus dan akhirnya menteri melaksanakan had umur belia sebagai langkah mengurangkan kadar pengangguran belia,” tambahnya.- MalaysiaGazette