Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pas Selangor kesal dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Solidariti Pemuda Pakatan Harapan (PH) kerana mempertikaikan keputusan mahkamah terhadap hukuman yang dikenakan kepada Wan Ji Wan Hussin.

Kenyataan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu seolah-olah mencabar keputusan Institusi Kehakiman negara ini serta memberikan gambaran yang sangat negatif kepada orang awam.

Manakala tindakan Solidariti Pemuda Pakatan Harapan (PH) mempertikaikan hukuman tersebut adalah amat tidak wajar kerana hukuman penjara terhadap Wan ji telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dtauk Dr Ahmad Yunus Hairi menegaskan keputusan tersebut harus dihormati oleh semua pihak.

Katanya, Pas Selangor tetap mempertahankan Raja-Raja Melayu dan Institusi Kehakiman bertepatan dengan semangat Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Kedaulatan Undang-undang.

“Di manakah pengasingan kuasa yang dilaungkan oleh PH selama ini?

Di manakah janji PH untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, Raja-Raja dan Institusi Raja? Adakah PH tidak lagi memperjuangkan “Rule of Law”?,” ujarnya. – MalaysiaGazette