Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan 10 individu termasuk lapan warga India selepas disyaki terbabit dalam pergaduhan di sebuah kedai menjual alkohol di Batu Caves dalam insiden Isnin lalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, salah seorang suspek bersama isterinya berusia 38 tahun ke premis tersebut untuk membeli minuman keras dan tidak berpuas hati setelah diberi resit dengan tulisan tangan.

“Keadaan menjadi kecoh apabila wanita terbabit mendakwa ditampar oleh seorang lelaki tidak dikenali di pipi kiri.

“Suami wanita itu meminta bantuan orang awam di kawasan terbabit dan menyebabkan pergaduhan antara dia dengan pekerja premis berkenaan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan semakan data polis, lelaki terbabit memiliki rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan satu rekod dadah selain masih dikehendaki polis berkaitan satu kes jenayah pada 2017.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan kesemua yang ditangkap direman sehingga hari ini (12 Julai).

Permohonan untuk lanjutan reman dipohon hari ini di Mahkamah Selayang. – MalaysiaGazette