KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan diminta memperketatkan lagi pemberian kelulusan sijil pengendali udara (AOC) dan Permit Perkhidmatan Udara (ASP) kepada mana-mana syarikat penerbangan baharu agar pekerja-pekerja tidak dianiaya.

Dalam beberapa tahun ini, Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) telah menerima banyak aduan daripada para pekerja ekoran kegagalan majikan membayar gaji dan elaun sehingga syarikat ditutup.

Masalah dan isu ini masih berlarutan dan kerajaan harus perhalusinya agar pekerja di dalam industri penerbangan tidak terus menjadi mangsa keadaan.

NUFAM berkata, baru-baru ini lesen sebuah  lagi syarikat penerbangan telah ditarik balik atas beberapa sebab termasuk tunggakan gaji pekerja.

“Kalau tak mampu buka syarikat penerbangan janganlah buka. Jangan ambil risiko dan pekerja pula akhirnya dilepaskan kerana syarikat itu tidak mampu membayar hutang gaji pekerja,” kata NUFAM dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kes dan aduan kakitangan menjadi mangsa syarikat penerbangan yang diterima oleh NUFAM sungguh banyak terutama membabitkan tunggakan gaji atas alasan menampung kos operasi yang tinggi.

“Syarikat penerbangan akan beri banyak alasan dan apabila syarikat ditutup pekerja pula jadi buntu. Sampai bila mereka nak jadi macam ini?,” soal NUFAM.

Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia harus ambil perhatian dengan masalah yang masih berlaku dalam syarikat penerbangan.

NUFAM telah membentang banyak isu ini kepada kementerian-kementerian berkenaan dan setakat ini masih tidak nampak keberkesanan dalam membendung masalah.

Sejak empat tahun lalu sebanyak lima syarikat telah gulung tikar, yang mana beribu-ribu pekerja ini terpaksa dihentikan.

Antara syarikat penerbangan itu termasuk syarikat penerbangan charter berkonsep syariah dan syarikat ini masih tidak melangsaikan hutang tunggakan gaji pekerja mereka.

“Mereka janji mahu bayar tapi tak bayar. Setiap kali ada aduan, syarikat ini akan beri alasan kepada pekerja bahawa mereka masih tunggu dana masuk.

Apabila kes ini pula dirujuk dan dibawa ke pihak Jabatan Tenaga Kerja oleh pekerja, wakil syarikat ini tidak hadir.

“Mahkamah telah pun perintah syarikat ini membayar tunggakan gaji kepada pekerja dalam tempoh 30 hari tetapi mereka masih tidak hiraukan,” jelas NUFAM.

Sehubungan itu, NUFAM mengesa tindakan lebih keras diambil terhadap pihak pengurusan syarikat yang tidak mahu langsung membayar hutang gaji pekerja mereka.

Masalah juga akan timbul apabila kes-kes ini pula dirujuk ke Mahkamah Perindustrian kerana pihak pengurusan tidak hadir pada hari sebutan kes.

Jadi masalah ini akan berterusan sehingga ramai pekerja mengalami kesusahan akibat kehilangan kerja.

“Sudahlah hilang kerja, pihak pengurusan pula tak mahu selesai secara baik,” katanya.

Lantaran itu, NUFAM mahu pengurusan syarikat penerbangan seperti ini diheret ke muka keadilan jika mereka gagal ikut perintah Mahkamah.

“Isu ini harus dipandang serius oleh semua pihak yang bertanggungjawab dalam permasalahan pembuangan pekerja di dalam industri penerbangan.

Jika masalah ini masih tidak dibendung dan berterusan, ramai lagi pekerja akan kehilangan pekerjaan dan terus akan ditipu serta dianiayai oleh syarikat penerbangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette