Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (kanan) diiringi Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim (dua kanan) melihat contoh-contoh makanan yang tercemar pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia di eCurve Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2019.

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan merekodkan 496 kes penyakit bawaan makanan pada tahun lalu berbanding 401 kes pada 2017, peningkatan 23.69 peratus.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagi lima bulan pertama tahun ini sebanyak 213 keracunan makanan dilaporkan, melibatkan 68 kejadian di sekolah di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Manakala 26 lagi kejadian di sekolah bukan dibawah KPM, 19 kejadian di institusi, 55 kejadian keracunan di rumah persendirian dan 45 kejadian di lain lain tempat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2019 bertemakan ‘Keselamatan Makanan Tanggungjawab Setiap Individu” di e-Curve, Mutiara Damansara di sini.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kejadian kes keracunan makanan dan menganggap soal keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dipandang ringan sambil menasihati orang ramai mengamalkan keselamatan makanan.

“Mereka perlu memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelak makanan rosak.

“Saya juga ingin tekankan supaya pengusaha dan pengendali makanan dapat menjaga tahap kebersihan premis makanan disamping mempraktikkan dan memperkukuhkan amalan-amalan yang baik dalam pengendalian makanan bagi menangani keracunan makanan,” ujarnya.

Dzulkefly mengakui kawalan keselamatan makanan masa kini kian mencabar disebabkan penghasilan makanan yang sangat kompleks.

Menyedari hakikat ini, tegasnya, kerajaan bertanggungjawab mengambil langkah bagi mengawal punca pencemaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula dari bahan mentah sehingga ke peringkat hidangan makanan.

Tambah beliau, hidangan makanan yang selamat merangkumi pelbagai aktiviti dan proses termasuk pengeluaran ,pemprosesan, pengangkutan, penyimpanan dan penyediaan makanan.

SEmentara itu, Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti berkata, pihaknya menggalakkan program ‘kendiri sekolah’ iaitu sekolah sendiri melakukan pemeriksaan kebersihan mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan,

“Selain itu ada kerjamasa KPM dan kebanyakan sekolah berasrama penuh melaksanakan skim jaminan keselamatan makanan memastikan setiap sekolah itu mengeluarkan makanan yang selamat dan sihat,” katanya. – MalaysiaGazette