Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan sedia mempertimbangkan cadangan agar Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memiliki pejabat untuk beroperasi dan tapak perkhemahan untuk beraktiviti.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya akan berusaha untuk merealisasikan hasrat itu dalam usaha menjadikan pergerakan beruniform itu menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang.

Jelas beliau, pihaknya akan mencadangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memberi keutamaan kepada pengakap di daerah menggunakan taman-taman rekreasi sekitar Kuala Lumpur melakukan kegiatan.

“Saya juga berharap dengan ada pergerakan pengakap sebagai rakan strategik kementerian, lebih banyak aktiviti akan dapat dilaksanakan terutama aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

“Ini kerana aktiviti kemasyarakatan bukan sahaja menjadikan pergerakan pengakap lebih dekat dengan masyarakat umum tetapi juga akan berjaya menonjolkan imej pengakap sebagai pergerakan uniform yang dapat membantu ke arah perpaduan kaum dan pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Pingat dan Sijil Pengakap Raja Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Akademi Kenegaraan di sini hari ini.

Seramai 99 ahli pengakap dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima sijil Anugerah Pengakap Raja yang merupakan calon bagi tahun 2015, 2017 dan 2019.

Bagi mendapat Anugerah Pengakap Raja, ahli perlu melalui pelbagai ujian yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia seperti yang terkandung dalam skim lencana Pengakap.

Justeru, Sijil Anugerah Pengakap Raja sangat berharga dan istimewa kerana ia ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja. – MalaysiaGazette