Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador hadir pada Rumah Terbuka Malam Semarak Kasih Melati 2019 di Perumahan Blok Melati PDRM, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sudah mempunyai ‘bayangan’ siapakah dalang di sebalik pembikinan serta penularan video seks melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang individu mirip menteri baru-baru ini.

Malah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mendedahkan pihaknya mendapati wujud satu pakatan atau ‘konspirasi’ di sebalik video seks luar tabii yang telah menggegarkan politik negara.

“Dalang utama sudah, kita sudah ada bayangan siapakah yang bertanggungjawab, ada satu bentuk pakatan di sebalik penyebaran video-video ini. Satu bentuk konspirasi,” katanya sambil menambah polis telah tahan beberapa individu bukan sahaja dalam pembikinan tetapi juga penyebaran video seks tersebut.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Perumahan Blok Melati PDRM hari ini.

Ketika ditanya mengulas lanjut mengenai dalang itu, Abdul Hamid hanya tersenyum dan menambah, pihaknya akan bertindak terhadap mana-mana induvidu atau kumpulan terbabit.

“Sesiapa sahaja, tidak kira andainya pemimpin politik, orang biasa mahupun mana-mana pertubuhan bukan kerajaan, pihak polis akan tetap bertindak dengan sewajarnya,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini kesahihan video tersebut belum dapat didedahkan memandangkan pihaknya masih menunggu laporan daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Abdul Hamid juga mendedahkan polis juga sedang menyiasat daripada sudut bagaimana video tersebut tersebar termasuk pihak-pihak yang menyebarkan bahan itu.

“Menyebarkan bahan-bahan seperti video seks itu adalah satu kesalahan, kerana itu juga kita buat tangkapan beberapa individu dan kemudian dilepaskan.

“Kita ada bahan bukti dalam telefon bimbit yang digunakan untuk melakukan penyebaran tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here

Comment moderation is enabled. Your comment may take some time to appear.