KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di KM2.4 Lebuhraya Duta Ulu Klang (DUKE), menuju ke arah pusat bandar di sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata, B. Ragunath, 24, maut di lokasi kejadian selepas kereta Toyota Corolla dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok dalam kejadian kira-kira 7.00 pagi ini.

Tiga lagi mangsa iaitu Jessica Lemunai Anak Runggah, 19, Lily Anak Dinai, 25, Rosita Anak Chabu, 39, mengalami kecederaan ringan.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat dan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama