Pengerusi Perhubu­ngan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang 2019 di PWTC, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ghani dilihat berubah angin berkaitan dengan bekas bosnya, Datuk Seri Najib Razak.

Johari yang juga Pengerusi Badan Pertubuhan UMNO Wilayah Persekutuan bersetuju dengan pelantikan Najib selaku Pengerusi Penasihat Barisan Nasional (BN) yang diputuskan oleh kepimpinan parti itu, Isnin lalu.

“Secara peribadi tidak ada masalah dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Penasihat BN,” katanya ketika ditemui merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mengulas mengenai pelantikan bekas Presiden UMNI itu yang kembali ke parti dengan memegang jawatan Pengerusi Penasihat BN.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menerusi kenyataan selepas dua jam mengadakan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi berkata Najib akan dipertanggungjawabkan mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti.

Mengulas lanjut, Johari berkata, itu adalah keputusan yang dicapai oleh kepimpinan parti dan ia perlu dihormati.

“Itu progresif daripada Presiden UMNO dan BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) jadi kalau beliau merasakan keseluruhan Majlis Tertinggi UMNO turut merasakan itu boleh bantu BN, terpulang kepada mereka,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada tahun lepas, Johari mempersoalkan keputusan parti menurunkan Najib ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis untuk berkempen.

Malah beliau menegaskan, UMNO mungkin perlu ‘merehatkan’ Najib dalam kempen PRK memandangkan bekas perdana menteri itu berdepan perbicaraan kes salah guna kuasa dan pecah amanah berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International. -MalaysiaGazette