Hanipa Maidin
Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disaran supaya berdiam diri sahaja daripada mempertahankan Akta Hasutan yang hangat diperkatakan sejak penahanan pendakwah bebas, Wan Ji Wan Husein.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Mohamed Hanipa Maidin yang membuat saranan itu berkata, adalah lebih baik Hadi berdiam diri daripada bercakap apa-apa mengenai akta berkenaan kerana beliau sendiri tidak tahu mengenainya.

Katanya, isu yang dibangkitkan bukan setakat salah guna sebaliknya akta berkenaan merupakan undang-undang yang zalim.

“Contohnya dalam akta ini kebenaran kata-kata bukan satu pembelaan (a defence). Tahukah YB (Hadi) bahawa di bawah akta ini pendakwa tak perlu buktikan pun kata-kata seseorang itu menghasut.

“Cenderung menghasut sahaja sudah salah YB. Bayangkan jika cenderung mencuri pun sudah salah.

“Bukankah YB selalu ajar pada orang bawah YB bahawa dalam Islam cenderung kepada kezaliman pun tak boleh, nanti kena sentuh api neraka.

“Menyokong akta ini, YB, bagi saya, bukan lagi cenderung kepada kezaliman, ia dah masuk dalam kategori menyokong kezaliman itu sendiri,” tulis Ahli Parlimen Sepang itu di Facebooknya hari ini.

Menurut Hanipa, beliau pernah disiasat di bawah akta tersebut dan pernah mewakili anak guam yang didakwa di bawah akta itu serta menyaksikan sendiri bagaimana Barisan Nasional (BN) menambah lagi “kezalimannnya” daripada kezaliman yang sedia ada.

Terdahulu, Abdul Hadi memuat naik kenyataan di laman sosialnya menggesa kerajaan supaya mengekalkan Akta Hasutan 1948 serta membincangkan takrif dan perkara yang dikatakan hasutan itu supaya akta berkenaan tidak disalahgunakan.

Katanya, Akta Hasutan adalah antara akta diluluskan Parlimen yang mahu dimansuhkan sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa kempen PRU-14 lalu.

Perdana Menteri sebelum ini pernah mengesahkan untuk memansuhkan akta berkenaan dan menggantikannya dengan undang-undang baharu. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/14/hapus-akta-hasutan-buka-ruang-budaya-menghasut-berleluasa/