KUALA LUMPUR – Empat wartawan didakwa dihalau keluar daripada membuat liputan Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai, hari ini.

Menurut kenyataan Gerakan Media Merdeka (Geramm), pihaknya menerima aduan daripada wartawan di tempat kejadian yang mengadu mereka ‘diminta keluar’ daripada membuat liputan.

“Difahamkan arahan tersebut dikeluarkan dengan alasan bahawa acara tersebut merupakan “persidangan orang Melayu” dan hanya orang Melayu sahaja dibenarkan untuk membuat liputan perasmian mesyuarat,” demikian menurut kenyataan Geramm.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya di Facebook, Geramm turut mendakwa pengacara majlis telah meminta wartawan dan jurugambar bukan berbangsa Melayu untuk meninggalkan majlis sejurus sebelum acara bermula pada kira-kira jam 2 petang tadi.

Mesyuarat berkenaan diadakan di Rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya. -MalaysiaGazette