Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki bercakap kepada media selepas mengetuai Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Bilik Mesyuarat Tingkat 38, Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 15 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Sayap Pergerakan Pemuda UMNO hari ini meraikan perbezaan pendapat Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Khairy Jamaluddin.

Menurut Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, kritikan Nazri dan Khairy Jamaluddin terhadap lantikan Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) perlu dihormati kerana kedua-dua mereka masih lagi ahli UMNO.

“UMNO mempunyai pemikiran terbuka terhadap pandangan berbeza, saya rasa semua orang ada hak untuk mengatakan pandangan masing-masing.

“Bagi saya, kita harus menghormati pandangan berbeza dan bersetuju untuk tidak bersetuju ataupun bersetuju untuk bersetuju,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Asyraf diminta mengulas mengenai kritikan terbuka Nazri terhadap pelantikan Najib, baru-baru ini.

Nazri di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kota Lama, Sauk semalam mencabar UMNO mengenakan tindakan terhadapnya kerana mengkritik pelantikan itu dan sedia dipecat daripada parti kerana mempertahankan pendiriannya.

“Saya tak gentar. Kalau nak nak buang, buanglah. Saya tak pernah serang presiden pun. Kalau berani buanglah saya, saya cabar namun tinggalkan UMNO ‘no way’.

“Kalau nak hukum saya dan KJ (Khairy Jamaluddin) kerana kami sayangkan parti, hukumlah, nak tengok jadi macam dulu apabila buang Shafie, buang Muhyiddin, kita ingat mereka tiada pengaruh,” katanya.

UMNO menerusi Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa pula berkata, parti itu tidak akan mengenakan sebarang tindakan disiplin kepada Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang dilihat ‘keras’ mengkritik parti.

Beliau sebaliknya menganggap kritikan veteran UMNO dan bekas Ketua Pergerakan Pemudanya itu hanya sekadar pandangan peribadi. – MalaysiaGazette