Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO bersimpati dengan keluhan Majlis Belia Malaysia (MBM) yang kecewa dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang bertindak mengenepikan badan berkenaan dalam merangka pindaan Rang Undang-Undang bagi menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, MBM sebagai pemegang taruh dalam isu-isu berkaitan belia perlu dirujuk dan menerima persetujuan pihaknya dahulu sebelum keputusan dibuat.

Justeru Asyraf berkata, keputusan itu memberi kesan secara langsung kepada pertubuhan belia terutama pertubuhan yang bernaung di bawah MBM.

“Pemuda UMNO berasa simpati dan kita rasa Menteri tidak sewajarnya melakukan sedemikian kerana ini tidak pernah berlaku di zaman BN.

“Apa jugak keputusan penting yang nak kita pinda akta di Parlimen sepatutnya buat kajian dengan kompetensif dan mendengar suara hati dan juga maklum balas daripada golongan belia.

“Ini kerana mereka akan menerima kesan langsung daripada apa juga dasar yang dibuat oleh kerajaan. Amat tidak wajar Syed Saddiq sebagai menteri mengenepikan pandangan Majlis Belia Malaysia.

“Ini amat dukacita kerana sebagai menteri yang memperlekehkan pandangan Majlis Belia Malaysia dan tidak bertanggungjawab mendapatkan pandangan dan juga maklum balas pihak lain,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Awal bulan lalu, Presiden MBM, Jufitri Joha mempertikaikan keputusan kerajaan untuk mengurangkan had umur maksimum yang ditakrifkan sebagai ‘belia’ kepada 30, dan bukannya 35 yang diterima oleh semua badan gabungannya.

Menurut Jufitri, had umur maksimum 35 telah diterima oleh semua pihak termasuk dipersetujui oleh Syed Saddiq sendiri.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan), yang antaranya mengubah had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

Usul yang dibentangkan Menteri Belia dan Sukan itu dibahaskan oleh 17 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. -MalaysiaGazette