Moanes Dabour

KAHERAH – Pemain Israel, Moanes Dabour menafikan khabar angin yang mendakwa pemain Mesir, Mohamed Salah telah meminta ahli lembaga Liverpool supaya tidak membeli pemain itu.

Dabour dikaitkan dengan perpindahan ke Merseyside sejak Januari lalu berikutan prestasi baik yang dipamerkannya ketika bersama kelab Austria, Red Bull Salzburg.

Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan 37 gol dalam 48 penampilan pada semua perlawanan pada musim lalu yang menyaksikan kelabnya memenangi dua kejohanan domestik.

Bagaimanapun, pada awal tahun ini terdapat desas-desus pemain Liverpool, Salah meminta ahli lembaga pengarah kelab itu tidak menandatangani klontrak dengan penyerang tersebut pada awal tahun ini kerana kewarganegaraannya, dan Salah telah mengugut untuk meninggalkan kelabnya jika perpindahan berkenaan menjadi kenyataan.

Kini, pemain baharu Sevilla yang mengesahkan beliau telah menandatangani kontrak itu berkata, dia tidak pernah menerima tawaran rasmi daripada Liverpool, sekali gus menafikan Salah mempunyai kaitan untuk menghalangnyua daripada berhijrah ke England, lapor portal KingFut.

“Tidak pernah ada tawaran rasmi (daripada Liverpool),” kata Dabour kepada AS.

“Mereka hanya mengaitkan saya kerana saya bercuti di England.

“Cerita ini tidak benar. Saya mempunyai rakan-rakan warga Mesir yang telah bercakap dengan Salah dan dia memastikan mereka bahawa dia tidak pernah berkata dia tidak mahu saya bermain dengan Liverpool.

“Kami akan menentang Liverpool tidak lama lagi (di Bioston pada 21 Julai ini). Saya berharap mahu berjumpa Salah dan saya sudah pasti akan berborak dengannya,”. tambah beliau. – Agensi