Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menunjukkan kertas hak mengundi selepas membacakan Rang Undang-Undang Pindaan 2019 pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Faktor cepat dewasa dalam kalangan remaja dan belia di negara ini dilihat faktor kepada penurunan had umur pengundi di negara ini, kata Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr Mahathir Mohamad, faktor cepat dewasa boleh membawa kepada peningkatan pengetahuan terutamanya dalam bidang pengetahuan teknologi maklumat dalam kalangan belia.

“Sekarang maklumat datang dengan cepat dan banyak.

“Mereka boleh baca buku dan tengok wayang, dan tengok laman web dan macam lagi, jadi dapat pengetahuan yang lebih.

“Biasanya mereka juga keluar ke negara lain, dengan itu minda mereka lebih terbuka dan dewasa lebih awal. Sebab itu kita turunkan umur mengundi dan jadi calon pada umur 18 tahun,” katanya menjawab soalan daripada individu perseorangan di lobi Parlimen.

Dr Mahathir hari ini dirapati oleh seorang wanita yang meminta penerangan beliau tentang pelaksanan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun, hari ini.

Menceritakan pengalaman dirinya, Dr Mahathir berkata, sewaktu zaman remajanya, informasi dan maklumat sukar untuk diperoleh secara cepat kerana kekurangan teknologi.

“Zaman dulu saya kecil, umur 20 tahun masih belum pergi kemana-mana. Duduk di Alor Star sahaja tidak tahu apa jadi kepada dunia.

“Maklumat dari televisyen pun tidak cukup, di radio pun sedikit sahaja laporan,” jelas beliau.

Pada 10 Julai lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 4 Julai ditarik balik.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, percaturan itu bagi memasukkan cadangan pindaan berhubung pendaftaran pemilih secara automatik dan menurunkan had umur calon pilihan raya.

Ia dibawa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. – MalaysiaGazette